KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter yang terjejas sebelum ini kembali beroperasi seperti biasa selepas kerja baik pulih sistem elektrifikasi berjaya diselesaikan awal pagi tadi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja pembaikan susulan kejadian alat talian atas terputus di KM434.423 antara Stesen Batang Benar dan Labu telah siap sepenuhnya pada jam 3.56 pagi.
Menurut KTMB, sepanjang tempoh gangguan, pihaknya mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penumpang terpelihara, termasuk menyediakan bas pengantara dan bantuan di lapangan.
“Kesemua penumpang yang terjejas dilaporkan selamat tiba ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut menegaskan komitmennya untuk memastikan sebarang gangguan operasi ditangani dengan segera melalui pemantauan berterusan bagi meminimumkan kesan kepada pengguna.
Dalam pada itu, KTMB merakamkan penghargaan kepada penumpang atas kesabaran serta memohon maaf atas kesulitan yang dialami sepanjang tempoh gangguan. – MalaysiaGazette
















