P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P Ramasamy mempersoalkan reaksi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang disifatkan terlalu keras dalam menafikan dakwaan membabitkan bayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR berinisial ‘R’.

Menurutnya, setakat ini tiada bukti jelas wang tersebut benar-benar diberikan kepada mana-mana wakil rakyat, justeru reaksi berlebihan hanya mengeruhkan keadaan.

“Belum ada kepastian sama ada wang itu benar-benar diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen PKR,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy berkata, dua Ahli Parlimen PKR yang sering dikaitkan dengan inisial ‘R’ ialah Datuk Seri Rafizi Ramli dan R Ramanan, dengan kedua-duanya mengambil pendekatan berbeza dalam menangani dakwaan tersebut.

Katanya, Rafizi menepis dakwaan itu secara berseloroh, manakala Ramanan tampil secara terbuka mengecam Victor menyifatkannya sebagai “syaitan” dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah bertemu individu tersebut.

Bagaimanapun, Ramasamy menegaskan, hujahan tidak ada pertemuan tidak semestinya menafikan kemungkinan berlakunya transaksi.

“Pertemuan dengan seseorang tidak semestinya berkait secara langsung dengan sama ada wang itu diterima atau tidak,” tegasnya.

Dalam masa sama, Ramasamy berpandangan tiada keperluan untuk Ramanan bertindak secara keterlaluan, termasuk membidas pihak lain, kerana ia hanya menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan rakyat.

“Reaksi melampau hanya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan,” katanya sambil menyifatkan Ramanan memberi isyarat yang salah dengan tindak balas yang keras,

Beliau turut mengingatkan sebagai seorang menteri, Ramanan sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak bertindak secara emosional terhadap dakwaan yang belum disahkan.

“Jika tiada apa yang hendak disembunyikan, tidak perlu bertindak sedemikian,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, individu yang membuat dakwaan tersebut dilaporkan memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada ahli Parlimen yang dimaksudkan untuk memulangkan wang berkenaan, jika tidak identiti individu itu akan didedahkan.

Namun, beliau menegaskan kredibiliti dakwaan tersebut masih perlu dinilai dengan teliti memandangkan individu terbabit kini berstatus buruan pihak berkuasa.

“Persoalannya, sejauh mana maklumat itu boleh dipercayai dan sama ada beliau akan dibawa pulang untuk membantu siasatan,” soal beliau.

Tambahnya, spekulasi bahawa individu tersebut lebih selesa berada di luar negara berbanding pulang ke Malaysia juga menimbulkan persoalan tersendiri.

Sehubungan itu, Ramasamy menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan awal dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas dan telus.

“Negara ini bukan undang-undang rimba. Jika benar ada salah laku, siasatan dan tindakan mesti diambil tanpa perlindungan politik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast