KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan segera berhubung dakwaan melibatkan ahli perniagaan Victor Chin dan isterinya, Chan Swee Ying dalam isu NexG yang kini berimpak nasional.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, dakwaan yang timbul bukan sahaja menyentuh integriti sektor korporat, malah memberi kesan langsung kepada imej negara, keyakinan pelabur serta kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
“Perkara ini perlu diberi keutamaan tinggi oleh Polis Diraja Malaysia bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk disiasat secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, sekiranya terdapat bukti mencukupi, tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah perlu dilaksanakan tanpa kelewatan.
“Namun dalam masa sama, prinsip keadilan mesti dipelihara. Tiada mana-mana individu boleh dihukum hanya berdasarkan persepsi awam atau tekanan media tanpa proses undang-undang yang sah dan telus,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Jais lagi, andai siasatan mendapati wujud risiko gangguan terhadap saksi atau bukti, termasuk kemungkinan melarikan diri, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan langkah pencegahan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Jais turut menegaskan, isu berkenaan tidak boleh dilihat sebagai pertikaian korporat semata-mata, sebaliknya melibatkan aspek lebih besar termasuk tadbir urus, integriti pasaran modal serta kredibiliti sistem penguatkuasaan negara.
“Sebarang persepsi mengenai kewujudan ‘mafia korporat’ atau campur tangan luar dalam proses undang-undang, jika tidak ditangani dengan tegas, boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan profesional tanpa sebarang kelewatan atau layanan istimewa.
“Prinsipnya jelas, sesiapa yang terlibat mesti disiasat dan jika bukti mencukupi, mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
















