banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam berhubung skandal ‘mafia korporat’ selain menuntut penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, skandal yang berlarutan lebih sebulan itu bukan lagi kes terpencil sebaliknya mencerminkan kewujudan rangkaian jenayah yang berakar dalam sistem termasuk melibatkan institusi penguatkuasaan.

“Perkara ini jelas menunjukkan kegagalan sistemik yang tidak boleh lagi dipandang ringan. Ia bukan sekadar isu rasuah tetapi berpotensi menjadi ancaman kepada tadbir urus negara dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, maklumat yang tersedia menunjukkan isu tersebut mungkin melangkaui pemain perniagaan dan turut melibatkan agensi penguatkuasaan, ahli politik serta berkemungkinan individu di peringkat Kabinet.

Antara yang didakwa terlibat termasuk individu yang mempunyai kedudukan hampir dengan pusat kuasa.

Ia termasuklah Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilantik Perdana Menteri, seorang ahli Parlimen kerajaan yang dikaitkan dengan dana RM9.5 juta serta beberapa bekas pegawai politik.

“Dalam konteks ini, sikap berdiam diri Perdana Menteri amat membimbangkan,” katanya.

Yee Fung berkata, kegagalan kerajaan memberi respons tegas hanya akan menimbulkan persepsi bahawa wujud usaha melindungi pihak tertentu atau menutup rangkaian yang lebih besar.

“Malah respons daripada individu yang dinamakan setakat ini juga tidak meyakinkan dan gagal menjawab inti pati dakwaan, menjejaskan keyakinan awam,” katanya.

Yee Fung turut mempersoalkan pengakuan seorang menteri bahawa isu ‘mafia korporat’ telah lama diketahui, yang menurutnya menunjukkan kemungkinan rangkaian tersebut beroperasi tanpa tindakan untuk tempoh yang panjang.

“Jika benar, ini mencerminkan kegagalan sistemik dan kemungkinan wujud unsur persekongkolan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan perlindungan politik terhadap sindiket jenayah serta kemungkinan wujud amalan penguatkuasaan berpilih.

“Lebih membimbangkan apabila tindakan dilihat diambil terhadap pihak yang mendedahkan isu ini sedangkan individu yang dinamakan dalam dakwaan masih belum dikenakan tindakan jelas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, penubuhan RCI adalah langkah paling wajar bagi memastikan siasatan bebas, telus dan menyeluruh.

“Ini bukan sekadar melibatkan satu kes, tetapi soal melindungi integriti negara dan memastikan tiada mana-mana pihak kebal daripada undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast