Andrew Sheng

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Andrew Sheng dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, berkata pengalaman luas serta kelayakan kukuh Sheng akan menjadi aset penting kepada Sabah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dan masa depan.

“Kami menantikan sumbangan beliau, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” kata Hajiji selepas bertemu Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Sheng yang merupakan tokoh perbankan Asia dan pengawal selia kewangan yang dihormati, dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an dan kini berpangkalan di Hong Kong.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan antarabangsa, termasuk pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan di Bank Dunia, dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.

Pada masa ini Sheng adalah Profesor Khas di Institut Kewangan Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) dan merupakan ahli majlis penasihat antarabangsa bagi Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).

Pada April 2013, Majalah TIME menamakan beliau sebagai seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast