KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dicabar untuk menyatakan pendirian sama ada akan menyamaratakan harga diesel antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Setiausaha Komunikasi (BIKOM) Keadlian Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, perutusan khas Perdana Menteri semalam dibuat berdasarkan realiti bekalan global, kekangan logistik serta kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat.
Katanya, pelarasan tersebut bukan bersifat populis atau bermotifkan politik semata-mata, sebaliknya mengambil kira kedudukan stok semasa dan gangguan rantaian bekalan akibat konflik serta ketegangan geopolitik global.
Malah katanya, langkah itu disifatkan sebagai sementara bagi menangani kekurangan bekalan bahan api.
“Jika PN gagal menjawab soalan mudah ini, maka jelaslah bahawa retorik mereka selama ini hanya untuk menangguk di air keruh tanpa mempedulikan perut rakyat di Borneo.
“Akhirnya, marilah kita berpolitik dengan fakta dan memimpin dengan rasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, walaupun terdapat perkembangan positif apabila Iran membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz, ia tidak bermakna bekalan boleh diperoleh dalam masa singkat.
Jelasnya, proses penghantaran tetap tertakluk kepada rantaian logistik antarabangsa yang kompleks melibatkan jadual kapal, keadaan cuaca dan operasi pelabuhan.
Mengulas lanjut beliau berkata, isu perbezaan harga diesel antara Semenanjung dan Malaysia Timur turut dibangkitkan pembangkang.
Namun, realiti di Sabah dan Sarawak menunjukkan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding Semenanjung.
“Sebagai contoh, harga ayam di Semenanjung sekitar RM9.52 sekilogram, berbanding RM12.67 di Sabah dan RM13.58 di Sarawak. Telur ayam gred C pula sekitar RM4.05 di Semenanjung, meningkat kepada RM4.85 di Sabah dan RM5.55 di Sarawak.
“Keadaan ini menunjukkan rakyat di Malaysia Timur telah lama menanggung kos barangan asas yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan pengekalan subsidi diesel sebagai langkah mitigasi bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap harga barang,” katanya.
Mohd Ikhmal berkata, prinsip keadilan tidak boleh disamakan dengan kesamarataan mutlak, sebaliknya, keadilan menuntut dasar yang mengambil kira perbezaan geografi, cabaran logistik dan beban kos yang ditanggung rakyat di setiap wilayah.
Tambahnya, jika harga diesel diseragamkan tanpa mengambil kira faktor tersebut, ia berpotensi meningkatkan kos logistik di Sabah dan Sarawak, seterusnya memberi kesan rantaian kepada harga barangan asas.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ketegangan yang tercetus akibat serangan berterusan di rantau itu, termasuk tempiasnya ke negara-negara Teluk serta gangguan kepada laluan tenaga strategik seperti Selat Hormuz, memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan minyak dunia.
Menurut beliau, walaupun Malaysia berada dalam keadaan lebih terkawal hasil keupayaan Petronas, negara tetap tidak terlepas daripada kesan kenaikan kos, tekanan bekalan serta ketidaktentuan ekonomi global. – MalaysiaGazette
















