KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel disifatkan sebagai satu keputusan politik yang menghukum golongan terpenting dalam rantaian makanan negara, khususnya nelayan, petani dan pengusaha logistik, kata Datuk Dr Ibrahim Ali.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, kerajaan sedia maklum golongan tersebut akan menjadi pihak pertama menerima kesan langsung daripada kenaikan kos bahan api, namun tetap meneruskan pelaksanaan dasar itu.
“Bot nelayan bergerak dengan diesel, mesin petani bergantung kepada diesel dan lori yang mengangkut makanan ke seluruh negara juga menggunakan diesel. Ini bukan perkara kompleks, semua orang faham termasuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ibrahim, tindakan meneruskan dasar itu walaupun mengetahui implikasinya bukan lagi satu kesilapan dasar sebaliknya satu keputusan yang dibuat secara sedar.
“Apabila kerajaan tahu kesannya tetapi tetap melaksanakan, ini bukan lagi dasar ekonomi, ini pengkhianatan kepada rakyat,” tegasnya dalam kenyataan.
Tambah beliau, negara yang stabil sepatutnya memberi keutamaan kepada perlindungan sektor makanan kerana ia menjadi asas kepada kestabilan harga dan keselamatan rakyat.
Sebaliknya apa yang berlaku hari ini adalah tekanan dikenakan terlebih dahulu kepada golongan yang menghasilkan makanan.
Ibrahim turut mengkritik jurang antara pembuat dasar dan rakyat di lapangan, dengan menyatakan bahawa keputusan dibuat tanpa memahami realiti sebenar.
“Menteri tidak mengisi diesel bot nelayan atau memandu lori sayur tetapi mereka yang tidak merasai beban itu membuat keputusan untuk mereka yang menanggungnya setiap hari,” katanya.
Beliau turut menyifatkan langkah tersebut bukan sebagai reformasi atau keberanian sebaliknya satu keputusan yang “zalim” tetapi dibungkus dengan naratif yang indah.
Mengulas kesan rantaian, beliau berkata, kenaikan kos diesel akan terus memacu peningkatan harga makanan.
“Bila kos nelayan naik, harga ikan naik. Bila kos petani naik, harga sayur naik. Ini bukan teori, ini realiti dapur rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau membangkitkan persoalan mengenai keselarasan tindakan kerajaan dengan naratif keadilan dan kesejahteraan yang sering ditekankan.
Beliau turut memberi amaran tekanan terhadap pengeluaran tempatan boleh menjejaskan keselamatan makanan negara dan meningkatkan kebergantungan kepada import yang lebih mahal serta tidak stabil.
Menurut beliau, walaupun rakyat mungkin tidak mengikuti laporan ekonomi, mereka akan merasai kesan langsung melalui kenaikan harga makanan harian.
“Hakikatnya jelas, apabila golongan yang memberi makan kepada rakyat ditekan, maka perut rakyat sendiri yang terkesan,” katanya. – MalaysiaGazette















