KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) diaktifkan semula dalam status krisis dan bersidang secara harian dengan penglibatan sektor awam dan swasta.
Ia bagi memastikan tindak balas yang pantas dan bersepadu seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi terdahulu.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menekankan, keperluan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bagi melindungi sektor kritikal termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya kesan terhadap rakyat dan ekonomi dapat diminimumkan.
“Rakyat memerlukan halatuju ekonomi yang jelas merangkumi strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau hari ini.
Menurut Muhyiddin, kepimpinan negara perlu lebih tegas dan telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar ekonomi kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis.
Terdahulu menerusi hantaran tersebut Muhyiddin mendakwa, perutusan Khas Perdana Menteri semalam mengesahkan kebimbangan rakyat terhadap keadaan ekonomi yang semakin mencabar akibat ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, katanya, pengumuman itu gagal meyakinkan bahawa kerajaan mempunyai pelan jelas, tersusun dan segera bagi menghadapi kemungkinan kegawatan global.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan serta tekanan inflasi yang semakin meningkat.
“Langkah seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel dilihat lebih bersifat pentadbiran dan tidak menangani isu asas keterjaminan bekalan tenaga negara.
“Rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan kenyataan kerajaan bahawa Malaysia berada dalam keadaan “lebih baik” tanpa disertakan penjelasan terperinci, selain menimbulkan persoalan mengenai usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran yang didakwa mencerminkan tahap risiko sebenar bekalan tenaga negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa kerajaan menjelaskan jumlah hasil yang diperoleh Petronas susulan kenaikan harga minyak dunia serta berapa banyak yang boleh disalurkan kembali kepada rakyat bagi mengawal kenaikan harga bahan api.
Mengulas dakwaan 90 peratus rakyat tidak terjejas, beliau menyifatkan, kenyataan itu sebagai mengelirukan kerana kenaikan harga minyak memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan dan seterusnya meningkatkan harga barangan keperluan harian.
“Realitinya, 100 peratus rakyat terkesan dengan kenaikan harga minyak,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan kerajaan yang masih di peringkat ‘sedang difikirkan’ amat membimbangkan ketika krisis kerana rakyat memerlukan kepastian, garis masa serta tindakan konkrit. – MalaysiaGazette
















