KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan bahawa semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan proaktif dan bertanggungjawab dalam menjimatkan bahan api serta memastikan penggunaan tenaga yang mampan susulan ketidaktentuan berterusan di Asia Barat.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata perkembangan geopolitik yang dinamik telah meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global, namun Malaysia tidak boleh terlepas daripada tekanan luaran ini.

“MEF menyokong sepenuhnya usaha rasionalisasi bahan api oleh kerajaan dan menyeru semua pihak berkepentingan supaya bertindak secara tegas dan bertanggungjawab dalam mengurus penggunaan bahan api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa rasionalisasi bahan api perlu dilihat sebagai tanggungjawab nasional bersama, dan bukan cabaran yang ditanggung kerajaan semata-mata.

“Ia memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh negara, di mana pembuat dasar menyediakan hala tuju dan sokongan yang jelas, perniagaan memacu kecekapan dan inovasi, manakala rakyat mengamalkan tabiat penggunaan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Syed Hussain berkata MEF kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan langkah rasionalisasi bahan api dilaksanakan dengan cara yang menyeimbangkan kemampanan ekonomi, kesinambungan perniagaan dan daya tahan negara.

Ke hadapan, MEF turut menggalakkan perniagaan mempercepatkan peralihan ke arah amalan mampan serta penyelesaian tenaga alternatif.

“Majikan perlu mula melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, termasuk penyelesaian solar, serta meneroka penggunaan kenderaan elektrik secara berperingkat jika sesuai.

“Penubuhan pasukan petugas dalaman untuk mengenal pasti strategi penjimatan bahan api dalam operasi juga adalah penting,” tambahnya.

Dalam ucapan khas semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 April, had bulanan individu bagi pembelian BUDI95 akan diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Sebahagian besar rakyat tidak terjejas dengan pengurangan kuota itu, memandangkan secara purata pengguna menggunakan kira-kira 100 liter sebulan, dan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast