KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan permintaan dan pembayaran wang kepada seorang ahli politik yang tular di media.
Agensi penguatkuasaan undang-undang itu turut memaklumkan , maklumat berkenaan juga masih belum dapat disahkan kesahihannya.
“SPRM mengambil maklum pelbagai dakwaan yang berlegar di platform media sosial serta saluran lain, namun menegaskan bahawa sebarang tindakan hanya boleh diambil berdasarkan laporan rasmi dan bukti yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai maklumat sahih agar tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan berasaskan fakta.
Dalam pada itu, SPRM menegaskan komitmennya untuk meneliti setiap maklumat yang diterima dan memastikan sebarang tindakan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette
















