[Gambar Fail] Tinjauan harga petrol dan diesel yang mengalami kenaikan harga ekoran Konflik Asia Barat yang berlarutan menyebabkan harga minyak mentah global melonjak lebih 40 peratus ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Petronas Sungai Besi-Puchong Bypass, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) menggesa Kementerian Kewangan untuk mendedahkan input penuh yang digunakan dalam setiap pengiraan harga diesel mingguan, khususnya penanda aras gasoil Mean of Platts Singapore (MOPS) dan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat kepada ringgit yang digunakan.

Pengerusinya, Datuk Dr Pamela Yong berkata, walaupun formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang menentukan harga bahan api di Malaysia diketahui umum namun perincian pengiraan yang digunakan tidak didedahkan.

Kerajaan juga katanya tidak pernah mendedahkan angka sebenar MOPS.

“Ini merupakan jurang akauntabiliti yang perlu ditutup, khususnya apabila harga diesel memberi kesan langsung kepada kos makanan, barangan dan perkhidmatan bagi setiap isi rumah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Pamela, INSAP mengemukakan tiga tuntutan khusus daripada kerajaan kerana analisis badan itu terhadap corak harga diesel sepanjang tiga minggu lalu menimbulkan persoalan yang memerlukan penjelasan jelas terperinci.

Pertama, Kementerian Kewangan perlu menerbitkan, bersama setiap pengumuman harga mingguan, purata MOPS gasoil serta kadar pertukaran USD/MYR yang digunakan untuk menentukan harga runcit.

Ini merupakan amalan standard di negara seperti Australia, di mana Australian Institute of Petroleum menerbitkan penanda aras MOPS setiap minggu.

Kedua, sekiranya harga runcit yang diumumkan menyimpang daripada angka yang diperoleh melalui APM—sama ada melalui had harga, mekanisme pelarasan atau sebarang penyesuaian lain—kerajaan perlu mendedahkan sifat dan kadar penyimpangan tersebut.

Katanya, rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada mereka dilindungi daripada harga yang lebih tinggi atau membayar lebih daripada yang dihasilkan oleh formula.

Ketiga, kerajaan perlu menugaskan satu semakan bebas terhadap kerangka APM bagi menilai sama ada formula tersebut masih relevan dalam pasaran di mana harga produk bertapis boleh menyimpang dengan ketara daripada penanda aras minyak mentah akibat kemusnahan loji penapisan, sekatan dan gangguan penghantaran.

“Diesel bukanlah komoditi biasa. Ia adalah bahan api yang menggerakkan bekalan makanan Malaysia, membina infrastrukturnya dan menggerakkan industrinya.

“Apabila harganya meningkat sebanyak 77 peratus dalam tempoh tiga minggu, setiap ringgit kenaikan itu akhirnya akan dirasai oleh isi rumah Malaysia melalui harga yang lebih tinggi di pasar, kedai runcit dan tapak pembinaan.

“Kerajaan yang meminta rakyat menanggung kos ini juga harus bersedia untuk menunjukkan kepada rakyat bagaimana kos tersebut dikira,” ujar beliau lagi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast