KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini dalam peringkat akhir untuk membentangkan cadangan memperkenalkan Skim Pengembara di bawah Perkeso kepada Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, skim terbaharu itu bakal perlindungan sosial kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.
Selain itu, kementerian juga sedang dalam peringkat akhir kajian untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan ibu bersalin, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
Menurut Ramanan, genap 100 hari memegang portfolio itu, fokus utama KESUMA adalah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan kebajikan pekerja.
“Dalam tempoh singkat ini, kita memberi keutamaan kepada inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berjangka panjang, bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam sektor pelancongan, kementerian turut melaksanakan inisiatif proaktif dengan menawarkan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (SITI) secara percuma kepada 10,000 pekerja industri pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam usaha memperkukuh kebajikan bekas anggota keselamatan, PERKESO turut memeterai memorandum persefahaman bersama PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi membangunkan ekosistem bersepadu untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Melalui kerjasama itu, seramai 5,000 veteran disasarkan menerima penempatan pekerjaan menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira menjelang 2030.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata KESUMA turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui pelaksanaan program Upskilling dan Reskilling di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui ADTEC yang dijangka memberi manfaat kepada 90,000 individu.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut menegaskan bahawa segala inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh 100 hari ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan pekerja terus menjadi agenda utama negara. -MalaysiaGazette















