Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Lebih 300,000 individu ditahan dalam tempoh tiga tahun berkaitan kesalahan dadah, ketika trend kes terus menunjukkan peningkatan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussien Omar Khan mendedahkan, sebanyak 242,075 kes direkodkan dengan 306,230 tangkapan bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menurutnya, jumlah kes meningkat secara konsisten setiap tahun iaitu daripada 73,340 kes pada 2023 kepada 81,090 kes pada 2024 dan seterusnya 87,645 kes pada 2025.

“Jumlah tangkapan turut meningkat daripada 94,799 orang pada 2023 kepada 102,201 orang pada 2024 dan 109,230 orang pada 2025,” katanya kepada media.

Beliau berkata, peningkatan itu melibatkan kes berkaitan pemilikan dan pengedaran dadah, termasuk bahan seperti syabu, ketamin, MDMA dan ganja, selain pembabitan pengedar serta sindiket terancang termasuk rangkaian tempatan dan antarabangsa.

Katanya, siasatan kes berkaitan bekalan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi kes pemilikan pula, ia disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 akta sama, selain Seksyen 9 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Hussien berkata, JSJN akan mengubah pendekatan dasar dadah negara dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memberi penekanan kepada pencegahan menyeluruh.

Menurutnya, penguatkuasaan akan kekal tegas dan tidak berkompromi terhadap sindiket, pengedar serta rangkaian kewangan jenayah.

“Namun fokus akan diperkukuh di peringkat akar umbi melalui pendidikan, komuniti dan institusi keagamaan, selain kawalan terhadap bahan prekursor (bahan mentah untuk buat dadah) serta rantaian bekalan.

“Intervensi awal juga akan dipertingkat bagi mengelakkan golongan muda terjebak sebelum ketagihan berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan itu didorong kesedaran bahawa setiap penagih baharu mencerminkan kegagalan pencegahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast