Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera mengambil tindakan tegas bagi menangani tekanan ekonomi semasa, khususnya kenaikan harga barang yang terus membebankan rakyat, tanpa bersikap sambil lewa.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Irwan Fahmi Ideris berkata, konflik melibatkan Iran sememangnya memberi kesan kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak dunia, namun situasi itu bukanlah luar biasa kerana harga minyak pernah mencecah lebih AS$100 setong sebelum kembali stabil.

Menurut beliau, laluan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz ke Malaysia juga masih berfungsi seperti biasa, justeru faktor luar tidak boleh dijadikan alasan utama untuk kegagalan mengawal tekanan kos sara hidup.

“Realitinya, harga minyak boleh turun, tetapi harga barang keperluan yang sudah naik hampir mustahil untuk kembali ke paras asal. Inilah beban sebenar yang ditanggung rakyat setiap hari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggesa kerajaan memperketat kawalan harga barangan asas serta meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pencatutan tanpa kompromi.

Selain itu, kerajaan turut disaran mengkaji semula mekanisme harga bahan api agar lebih stabil dan memastikan setiap penurunan harga minyak dunia dapat diterjemahkan segera kepada harga domestik.

Pada masa sama, Irwan Fahmi menekankan kepentingan sekuriti makanan sambil mencadangkan agar dasar mengutamakan pasaran tempatan dilaksanakan, termasuk mengurangkan eksport bahan makanan strategik sekiranya bekalan domestik tidak mencukupi.

Beliau turut menggesa kerajaan mengamalkan disiplin dalam perbelanjaan negara dengan mengurangkan pembaziran, termasuk menghentikan perjalanan luar negara yang tidak memberi pulangan ekonomi jelas.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyediakan pelan kecemasan ekonomi nasional yang komprehensif bagi menghadapi ketidaktentuan global dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

“Rakyat kini tidak lagi mahu mendengar alasan berulang, sebaliknya mahukan tindakan yang tegas, segera dan berpihak kepada mereka.

“Jika kerajaan gagal bertindak dengan serius, jurang kepercayaan antara rakyat dan kepimpinan akan terus melebar. Negara memerlukan kepimpinan yang berani membuat keputusan, bukan sekadar memberi penjelasan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast