Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan negara perlu disusun semula susulan konflik Iran dengan menangguhkan projek yang tidak memberi kesan langsung kepada ekonomi.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, krisis berkenaan telah memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia khususnya melibatkan kenaikan harga minyak, inflasi dan peningkatan kos sara hidup rakyat, sekaligus menuntut tindakan segera dan tegas daripada kerajaan bagi melindungi kesejahteraan ekonomi negara.

Katanya, sejarah krisis tenaga telah menunjukkan kesan berpanjangan hingga boleh menyebabkan kenaikan harga barang, pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta tekanan berterusan kepada rakyat.

“Rakyat perlu dimaklumkan secara telus mengenai kemungkinan kenaikan kos hidup dan tidak wajar diberikan harapan yang tidak realistik.

“Langkah penjimatan juga perlu merangkumi pengurangan pelantikan politik, jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perjalanan rasmi serta penganjuran majlis bersifat perhubungan awam dan istiadat yang menelan kos tinggi tetapi pulangan minimum,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, dalam situasi mencabar ini, pendekatan biasa tidak lagi mencukupi dan kerajaan perlu memberi fokus jelas kepada usaha melindungi ekonomi serta kebajikan rakyat.

Selain itu, beliau mencadangkan agar pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) diperluaskan bagi mengurangkan kos operasi kerajaan, selain menyeru kepimpinan negara menunjukkan teladan yang baik.

“Rakyat sedang memerhati. Jangan sekadar bercakap tanpa tindakan,” ujarnya.

Tambah beliau, langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten mampu memberi impak besar serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Dalam pada itu, beliau menekankan keutamaan perlu diberikan kepada sektor asas seperti tenaga, makanan, logistik serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pada masa sama, ekonomi domestik perlu diperkukuh supaya negara tidak terlalu bergantung kepada faktor luar,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas dan realistik pada masa ini amat penting dalam menentukan kekuatan ekonomi negara pada masa hadapan.

“Keutamaan sekarang adalah menyelamatkan ekonomi terlebih dahulu demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast