Datuk Seri Khaled Nordin melihat pokok halia yang diusahakan selepas Majlis Perasmian Projek JanaVeteran di Felda Air Tawar, Telok Sengat, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Permohonan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan bekas pemimpin UMNO lain untuk menyertai semula parti akan dibawa dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbincangan akan dilakukan berdasarkan semangat Rumah Bangsa namun tidak pasti keputusan permohonan mereka diputuskan dalam mesyuarat tersebut atau sebaliknya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, bagaimanapun melihat perkembangan tersebut sebagai suatu yang positif dan percaya akan ada keputusan baik ke arah menjayakan gagasan Rumah Bangsa.

“Saya akan bawa (dalam Mesyuarat MKT) atas semangat Rumah Bangsa, semangat Hari Raya Aidilfitri dan semangat Ramadan. Kenyataan Presiden parti…kita lihat ini sebagai sesuatu yang positif.

“Akan ada keputusan yang baik ke arah Rumah Bangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek JanaVeteran di Felda Air Tawar, Telok Sengat di sini hari ini.

Ditanya sama berapa ramai yang sudah menghantar permohonan tersebut, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihaknya masih mengumpul permohonan sehingga kini.

Beliau juga memaklumkan tiada tempoh yang diputuskan untuk mana-mana bekas pemimpin atau ahli untuk menghantar permohonan tersebut.

Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahliannya enam tahun.

Sementara bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar Khairy Jamaluddin turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO tersebut diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast