WASHINGTON – Kumpulan Houthi dari Yemen dilaporkan melancarkan serangan pertama mereka sejak perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus sekaligus menjadikan konflik di Asia Barat kini memasuki fasa baharu.

Menurut laporan The Washington Post, kumpulan bersenjata yang disokong Iran itu mengesahkan telah melancarkan peluru berpandu ke arah sasaran di Israel sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan pertama mereka bagi menyokong Iran.

“Serangan tersebut berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Israel namun tindakan itu dilihat sebagai perkembangan serius kerana membuka satu lagi medan konflik di rantau Timur Tengah,” menurut laporan itu.

Dalam perkembangan sama, laporan antarabangsa turut menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama Yemen terlibat secara langsung sejak konflik Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel bermula sekali gus meningkatkan risiko perang menjadi lebih meluas

Penyertaan Houthi boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan serantau, terutama melibatkan laluan perdagangan penting seperti Laut Merah dan Selat Hormuz yang menjadi nadi kepada bekalan tenaga dunia.

Sebelum ini, kumpulan Houthi pernah melancarkan serangan ke atas kapal-kapal di Laut Merah dalam konflik terdahulu dan tindakan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan bahawa gangguan terhadap perdagangan global mungkin kembali berulang.

Pada masa sama, mereka turut memberi amaran akan meneruskan serangan sekiranya konflik terhadap Iran berterusan sekali gus meningkatkan kemungkinan penglibatan lebih banyak pihak dalam peperangan tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast