GEORGE TOWN – Seramai lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga anggota polis minggu lalu.
Tertuduh, Noor Nizar Shah Zainol Abidin, 37; Muhammad Syafiq Mohd Nordin, 28; Azwandy Azmi, 38; Muhamad Aiqal Zulkifrey, 28; Muhammad Firdaus Abdul Malik, 34; Muhammad Razin Abdul Muthalib, 34; Muhammad Syazwan Mohd Omar, 30; dan Low Jia Hui, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal S. Uvaneand, 26; Konstabel Muhammad Daniel Danish Azlan, 23; dan Lans Koperal Muhammad Amzaruddin Fakhri Khuiruddin, 30, yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Sungai di sini, pukul 9.50 malam pada 25 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam S. Meharaj.
Ketika prosiding, Siti Marissa memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Namun, Meharaj dalam rayuannya memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
“Tiga daripada mereka telah ditahan sejak 25 Mac manakala yang lain menyerah diri kepada polis semalam sebelum dituduh hari ini.
“Jaminan itu hanya bagi memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah dan bukan sebagai satu bentuk hukuman,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan tiga anggota polis mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam pergelutan dengan beberapa individu ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah flat di Jalan Sungai pada 25 Mac lalu. – MalaysiaGazette















