Seorang pekerja penghantar barang memberi alasan membantu tunangnya mengemas rumah selepas mengadakan 'open house' Aidilfitri ketika ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pukul 1.10 pagi Khamis lalu.

MELAKA – Seorang penghantar barang memberi alasan membantu tunangnya mengemas rumah selepas mengadakan ‘open house‘ Aidilfitri ketika ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) awal pagi Khamis lalu.

Menurut sumber, serbuan dilakukan sepasukan Penguat Kuasa Agama (PPA) JAIM pada pukul 1.10 pagi selepas menerima aduan awam berhubung aktiviti mencurigakan pasangan berusia 24 dan 27 tahun itu di sebuah rumah teres di Bukit Beruang.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota PPA mengetuk pintu sebelum mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang dan tunangnya, seorang pembantu jualan sedang berdua-duaan di dalam rumah.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 24 tahun dan wanita, 27 tahun mengaku adalah pasangan tunang dan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Ketika disoal siasat, lelaki mendakwa dia berada di rumah berkenaan bagi membantu tunangnya itu mengemas rumah selepas baharu sahaja selesai majlis rumah terbuka Aidilfitri walaupun ketika itu sudah jam 1.10 pagi,” katanya.

Tambahnya, PPA bagaimanapun menegaskan alasan tersebut tidak menghalalkan perbuatan berdua-duaan di dalam rumah sehingga mendatangkan syak.

“Kita tidak menuduh berlaku perbuatan zina, namun apabila lelaki dan perempuan yang bukan mahram berkurung dalam satu rumah sehingga menimbulkan syak, ia tetap satu kesalahan di sisi undang-undang syariah.

“Mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan seterusnya di bawah kesalahan Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak,” kata sumber itu lagi.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast