KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan dua lelaki didakwa meminta ‘wang perlindungan’ daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kertas siasatan itu diserahkan kepada DPP hari ini untuk cadangan pertuduhan difailkan.
“Kami sudah menyerahkan kepada DPP dengan cadangan untuk mendakwa kedua-dua suspek. Saya tidak akan mendedahkan cadangan tersebut pada masa ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Mohamad Lazim, kedua-dua suspek telah ditahan pada 26 Mac lalu bagi membantu siasatan dan direman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Mac.
“Setakat ini, empat saksi telah dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan. Pada peringkat ini, kami sedang menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung video tular yang menunjukkan dua lelaki didakwa meminta “duit perlindungan” daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, rakaman tersebut telah menimbulkan kebimbangan awam dan memerlukan siasatan segera.
Beliau juga menggesa orang ramai tampil memberikan maklumat atau membuat aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebarang salah laku melibatkan pegawai di bawah bidang kuasa kementerian.
Dalam kenyataan berasingan, DBKL menafikan sebarang kaitan dengan individu dalam video tersebut sekali gus menolak dakwaan bahawa mereka “di bawah DBKL”.
Video tular yang menunjukkan kedua-dua lelaki itu mendekati sebuah perniagaan di bandar telah mencetuskan dakwaan pemerasan oleh individu yang sepatutnya berperanan sebagai penghubung antara pihak berkuasa dan orang awam.
Dua lelaki tersebut, yang merupakan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) telah diminta untuk meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette
















