Chin Wei (kanan) pada pertemuan bersama Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik di Komtar.

GEORGE TOWN – Tumpuan terhadap sektor perdagangan dilihat menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan usahawan apabila Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) mempergiat usaha memperluaskan peluang pasaran melalui kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Presidennya, Khoo Chin Wei berkata, inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang pasaran kepada usahawan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Menurutnya, pendekatan berasaskan perdagangan menjadi fokus MPE dalam memastikan usahawan kekal berdaya saing, terutama ketika berdepan cabaran luaran termasuk ketidaktentuan di Asia Barat.

“Dalam mendepani kemelut di Asia Barat, MPE berusaha membantu usahawan yang terjejas dengan memberi penekanan terhadap pembangunan melalui sektor perdagangan.

“Kami berusaha menjalinkan kerjasama baik dengan pihak kerajaan negeri menerusi perbincangan dua hala mengenai potensi kerjasama, khususnya dalam memperluas peluang perdagangan,” katanya di sini.

Beliau berkata, kerjasama strategik yang sedang dirintis mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan rangkaian perniagaan serta membuka ruang kepada inovasi dalam kalangan komuniti usahawan.

“Kunjungan ini menjadi platform bermakna untuk memperkenalkan visi serta inisiatif berterusan MPE dalam memperkasa usahawan, memperkukuh pembangunan PKS serta memupuk inovasi dalam komuniti perniagaan.

“MPE berharap dapat membina kerjasama yang kukuh dan berimpak bersama pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha berterusan ke arah ekosistem ekonomi yang lebih dinamik, inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.

Terdahulu, MPE mengadakan kunjungan rasmi terhadap Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik di Komtar, selain turut bertemu Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo bagi memperkenalkan peranan organisasi itu sebagai platform memperkasa usahawan serta menggalakkan pertumbuhan perniagaan mampan di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast