Suspek akan meletakkan kenderaanya jauh daripada dari lokasi sasaran sebelum berjalan kaki melalui kawasan semak bagi mengelak dikesan.

MELAKA – Seorang lelaki terpaksa menyambut 1 Syawal di balik tirai besi apabila diberkas polis ketika sedang melakukan jenayah pecah rumah dalam satu operasi khas di Ayer Keroh, di sini, awal pagi 21 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek tempatan berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi hasil risikan dan operasi ‘Op Petong’ bagi mengekang kegiatan pecah rumah di sekitar daerah berkenaan.

Menurutnya, suspek ditangkap ketika sedang melakukan cubaan pecah rumah tidak jauh dari rumahnya di Ayer Keroh dan hasil
siasatan mendapati, lelaki itu bergerak secara solo dan aktif melakukan jenayah sejak Januari lalu.

Suspek akan meletakkan kenderaanya jauh daripada dari lokasi sasaran sebelum berjalan kaki melalui kawasan semak bagi mengelak dikesan.

“Suspek dipercayai menyasarkan rumah di kawasan berpagar dan berpengawal yang ditinggalkan kosong oleh pemilik dalam tempoh tertentu terutamanya di sekitar Ayer Keroh.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah harta benda yang dilaporkan berlaku antara 16 Januari hingga 21 Mac tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, modus operandi suspek adalah dengan memanjat tembok sebelum memasuki rumah melalui tingkap bilik air atau tingkap sisi premis.

“Suspek juga akan meletakkan kenderaan jauh dari lokasi sasaran sebelum berjalan kaki melalui kawasan semak bagi mengelak dikesan.

“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan serta sebuah kereta jenis Honda Jazz,” tambahnya.

Christopher berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast