Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa kerajaan supaya segera membantu industri petroleum meningkatkan pencampuran biodiesel B10 dan B20.

Beliau yang juga bekas Menteri Industri Utama berkata, langkah strategik itu amat penting bagi menangani kenaikan harga bahan api semasa, memandangkan biodiesel berasaskan sawit kini menjadi alternatif yang lebih menjimatkan berbanding diesel fosil tulen.

Menurutnya, perbandingan harga berdasarkan data pasaran pada 27 Mac lalu menunjukkan biodiesel sawit (PME) kini didagangkan pada harga lebih rendah berbanding diesel Euro 5 antarabangsa.

Katanya, dengan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) pada RM4,500 satu tan dan diesel Euro 5 pada USD220 setong, kelebihan kos pencampuran itu adalah jelas.

“CPO pada RM4,500/tan adalah bersamaan kira-kira RM4.51/liter biodiesel.

“Di bawah struktur harga ini, biodiesel B20 adalah 20 sen lebih murah bagi setiap liter berbanding diesel tulen.

“Peralihan kepada campuran yang lebih tinggi bukan lagi sekadar matlamat alam sekitar, tetapi satu keperluan ekonomi mendesak untuk mengurangkan beban subsidi negara serta kos operasi sektor logistik dan perniagaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Foto: FB Teresa Kok

Tambah Teresa, adalah amat dikesali apabila program B20 terbantut akibat kekurangan pembangunan infrastruktur.

Ujarnya, sejak program itu dilancarkan beliau pada Februari 2020 bersama Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, pembangunan infrastruktur telah terabai.

Pada masa ini, jelas beliau, walaupun B20 telah dilaksanakan di Sarawak, Bintulu masih dikecualikan kerana kekurangan kemudahan pencampuran.

Di Sabah, tambahnya, beberapa depot di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu masih menunggu kerja naik taraf, manakala di Semenanjung pelaksanaannya amat perlahan dengan hanya Langkawi menawarkan B20 kepada pengguna.

“Dengan konflik berterusan di Timur Tengah yang dijangka mengekalkan ketidaktentuan harga minyak global untuk tempoh yang panjang, Malaysia tidak boleh lagi meminggirkan penyelesaian tenaga domestik sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengarahkan Kementerian Kewangan supaya segera meluluskan dan mempercepatkan naik taraf 35 depot petroleum di seluruh negara.

Selain itu, ujarnya, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk pengeluaran dan pengedaran campuran B10 dan B20 di stesen serta kepada pengguna industri.

Dalam masa sama, tambah beliau, projek terbengkalai di Sarawak, Sabah dan Semenanjung perlu diselesaikan bagi memastikan keselamatan tenaga negara.

“Kita mesti menganggap minyak sawit sebagai aset strategik negara.

“Kegagalan menaik taraf depot menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos bahan api yang lebih tinggi, sedangkan “tanaman emas” negara tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast