KUALA LUMPUR – Susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat, PETRONAS memantau rapat bekalan bahan api bagi membantu memastikan kestabilannya di seluruh negara.
Menurutnya, walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak namun negara ini tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan krisis tersebut.
Menurutnya, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz. Sejak krisis bermula, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus.
“Akibatnya, kos penghantaran global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran turut meningkat dengan ketara. Semua perkembangan ini telah memberi kesan kepada keterjaminan bekalan bahan api Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Daripada segi produk, PETRONAS berkata permintaan dalam negara terus melebihi bekalan domestik.
Bagi menangani kekurangan berkenaan, PETRONAS memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya dengan bekerjasama melalui anak-anak syarikat untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, untuk menyokong pegangan pasaran hampir 50 peratus sehingga Mei 2026.
Baki bekalan pula disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
“Harga runcit bahan api di Malaysia dikawal oleh kerajaan melalui Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Walaupun berdepan tekanan global, kerajaan menyediakan subsidi bagi RON95 dan diesel untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat, menjadikan harga bahan api di Malaysia ketika ini antara yang terendah di rantau ini,” katanya.
PETRONAS berkata, ia akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan bagi mengurus sebarang potensi gangguan serta mengutamakan keselamatan tenaga dan kesejahteraan negara.
Memandangkan tempoh dan tahap sebenar perang di Iran masih tidak menentu, PETRONAS menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap oleh industri dan orang awam.
Syarikat minyak dan gas nasional itu juga menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyorok bekalan bahan api kerana tindakan tersebut hanya akan memburukkan lagi kesan krisis. – MalaysiaGazette















