ALOR GAJAH – Tempoh reman terhadap empat beranak dan seorang lelaki berhubung siasatan penemuan bayi yang rangkanya ditemukan ditanam di depan rumah keluarga itu di Kelemak di sini Rabu lalu, disambung tiga hari lagi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mahkamah membenarkan perintah lanjutan reman itu sehingga esok terhadap kesemua suspek berusia antara 16 hingga 40 tahun berkenaan.
“Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut kes yang disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Empat sekeluarga ialah remaja perempuan berusia 19 tahun dipercayai ibu bayi terbabit, ibu, kakak serta adik lelakinya serta teman lelaki remaja itu,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, pada 25 Mac lalu, MalaysiaGazette melaporkan penemuan rangka bayi dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu yang ditanam di laman sebuah rumah tidak berpenghuni di hadapan rumah teres keluarga ibunya di Kelemak.
Kisah tragis itu sekali gus menggemparkan penduduk setempat ketika mereka masih dalam suasana meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Difahamkan sebelum kes terbongkar, berlaku perselisihan faham antara ibu bayi berkenaan dengan kakaknya. – MalaysiaGazette
















