GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengekalkan sesi persekolahan secara bersemuka walaupun berdepan cuaca panas, dengan penekanan terhadap aspek kesihatan dan kebajikan murid di 398 sekolah di negeri itu.

Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan cuaca semasa serta kesiapsiagaan sekolah yang telah melaksanakan pelbagai langkah awal bagi menghadapi situasi berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan sekolah bersedia menghadapi perubahan cuaca.
Tambahnya, pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memaklumkan ibu bapa lebih awal mengenai keperluan membawa bekalan air, penyesuaian pakaian lebih selesa serta penyediaan kemudahan air di kantin.
“Pagi ini saya melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor dan kita lihat sekolah telah membuat persediaan menghadapi cuaca panas. Murid-murid juga bawa bekalan air dan pihak sekolah sediakan air di kantin serta pastikan pengudaraan dalam bilik darjah mencukupi.
“Kita juga telah maklumkan kepada murid supaya elakkan berada di kawasan terdedah kepada cuaca panas, banyak minum air dan segera beritahu guru jika tidak sihat.
“Mengenai PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), kita ‘letak’ paling hujung sebab tidak mahu ada ‘learning loss‘ (kehilangan pembelajaran) yang sangat besar dan sebolehnya akan adakan persekolahan seperti biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Sungai Gelugor di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi mendapatkan perkembangan cuaca harian, selain memaklumkan bahawa status cuaca di Pulau Pinang kini tidak lagi berada pada tahap berjaga-jaga susulan hujan baru-baru ini.
“Kita ambil langkah berjaga-jaga kerana mungkin ada perubahan cuaca dalam tempoh terdekat. Kita juga pantau aktiviti luar termasuk sukan untuk nilai sama ada sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa.
“Aktiviti pendidikan jasmani dan kokurikulum masih boleh diteruskan tetapi di kawasan berbumbung atau pada awal pagi dan kita elakkan pendedahan kepada matahari terik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JPN turut mengarahkan semakan segera terhadap fasiliti sekolah termasuk kipas dan sistem pengudaraan bagi memastikan keselesaan murid.
“Saya telah minta bahagian infrastruktur dan perolehan jabatan untuk semak mana-mana sekolah yang ada masalah kipas dan pengudaraan supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, sekolah juga digalakkan melaksanakan solat sunat memohon hujan sebagai sebahagian daripada pendidikan murid sepanjang minggu ini.
“Kita nak yakinkan ibu bapa bahawa keutamaan kita adalah kesihatan, kebajikan dan keselamatan anak-anak.
“Jika tiga perkara ini dijaga, kita yakin murid dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya. – MalaysiaGazette
















