Ustaz Wadi Annuar. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR — Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar menegaskan bahawa hukuman penjara semata-mata tidak memadai dalam menangani kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa, sebaliknya aspek kebajikan waris mangsa perlu diberi keutamaan.

Menurut beliau, apabila seorang ketua keluarga maut akibat kecuaian pihak lain, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan berdepan tekanan hidup berpanjangan tanpa sumber pendapatan yang stabil.

“Hukuman penjara tidak mampu menyara anak yatim dan isteri yang hilang punca nafkah. Undang-undang perlu diperkasakan agar pampasan (diyat) sampai kepada waris dengan cepat tanpa membebankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa aspek pampasan kepada waris perlu diberi perhatian serius dalam kerangka perundangan negara.

Katanya, undang-undang sedia ada perlu diperkasakan supaya proses penyaluran pampasan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan tidak membebankan pihak waris.

Menurutnya, keutamaan harus diberikan kepada kebajikan keluarga mangsa yang terkesan secara langsung dengan kehilangan ketua keluarga.

Tambah beliau, konsep pampasan atau diyat wajar dilihat sebagai mekanisme membantu waris meneruskan kehidupan selepas tragedi.

Ustaz Wadi menegaskan, usaha memperkasakan undang-undang berkaitan pampasan adalah langkah penting bagi memastikan keadilan yang lebih menyeluruh dapat dicapai.

Semalam, seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu Honda City dipercayai memandu laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Mangsa tercampak ke atas Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.

Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast