Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media pengumuman rasmi penguatkuasaan Akta Pekerja GIG di Menara PERKESO, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Lebih 1.64 juta pekerja gig di negara ini bakal menikmati perlindungan perundangan susulan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula berkuat kuasa hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, akta itu diperkenalkan bagi menangani jurang perlindungan terhadap pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi secara menyeluruh di bawah undang-undang sedia ada.

“Akta ini hadir sebagai komitmen kerajaan untuk membela nasib pekerja gig yang menjadi tulang belakang ekonomi digital negara,” katanya pada sidang media di Menara PERKESO di sini, hari ini.

Menurut beliau, akta tersebut mentakrifkan pekerja gig sebagai warganegara atau pemastautin tetap yang mempunyai perjanjian dengan entiti kontrak sama ada melalui platform atau bukan platform, serta menerima bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan.

Jelasnya, kategori pekerja gig merangkumi sektor platform seperti e-hailing dan p-hailing serta sektor bukan platform termasuk perkhidmatan seperti lakonan, muzik, kewartawanan dan sebagainya yang disenaraikan di bawah akta berkenaan.

Beliau menegaskan, pekerja asing tidak termasuk dalam skop perlindungan akta tersebut.

“Warganegara dan pemastautin tetap sahaja. Tidak ada pekerja asing di bawah akta ini,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bergambar selepas sidang media pengumuman rasmi penguatkuasaan Akta Pekerja GIG (Akta 872) di Menara PERKESO, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2026.

Ramanan berkata, antara perlindungan yang disediakan termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, perlindungan kadar pendapatan, keselamatan sosial melalui PERKESO serta mekanisme penyelesaian pertikaian melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.

Dalam masa sama, tambahnya, pekerja gig kekal bekerja secara fleksibel dan pelaksanaan akta itu tidak akan menjejaskan ekosistem sedia ada.

Selain itu, beliau berkata Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan sebagai platform melibatkan kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk kadar pendapatan minimum serta standard kerja dalam sektor tersebut.

Jelasnya, penguatkuasaan Akta 872 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pekerja gig terus terpelihara seiring perkembangan ekonomi digital negara. -MalaysiaGazette



 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast