Iskandar bersama keluarganya gembira mendapat keputusan 9A di Alor Gajah, Melaka hari ini

ALOR GAJAH – Status bukan dalam kalangan pelajar harapan tidak menghalang seorang anak pemetik buah kelapa sawit mencipta kejutan apabila meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, Iskandar Zulkarnain Mohd Kamarol, 18, mengakui tidak pernah meletakkan sasaran tinggi selepas hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan percubaan, malah pernah gagal dalam subjek Matematik Tambahan.

Namun, katanya, kesusahan hidup keluarga terutama bapanya, Mohd Kamarol Denan, 49, yang hanya bekerja sebagai pemetik buah kelapa sawit, selain turut mengambil upah di laut dan kerja kampung menjadi titik tolak untuknya bangkit memperbaiki prestasi.

“Saya memang tak sangka dapat 9A sebab sebelum ini keputusan biasa sahaja dan saya bukanlah pelajar terbaik.

“Cuma saya berfikir kalau orang lain boleh berjaya, kenapa tidak saya, sebab itu saya menggandakan usaha dan fokus ulang kaji menjelang peperiksaan sebenar,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM 2025 peringkat negeri di sini, hari ini.

Anak sulung daripada tiga beradik berasal dari Kampung Kundang Banting, Selangor itu berkata, dorongan rakan-rakan serta semangat untuk mengubah nasib keluarga juga menjadi pemangkin utama kejayaannya.

“Saya nak buktikan latar belakang bukan alasan untuk gagal. Insya-Allah saya mahu sambung pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia dan harap dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.

“Tapi kalau dapat di mana-mana pun saya bersyukur, asalkan dapat terus belajar dan bantu keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast