File picture

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengemukakan pelan tindakan yang telus dan segera dengan mengutamakan kebajikan rakyat berbanding tekanan fiskal semata-mata.

Ia susulan konflik berskala besar melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran yang semakin memuncak hingga mencetuskan ketidakstabilan geopolitik serius, kata Pengerusi Persatuan Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.

Beliau berkata, perlu dilakukan ialah dengan mempercepat usaha mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Katanya, krisis global dilihat sebagai ujian besar terhadap kecekapan kepimpinan negara dengan kegagalan bertindak pantas berisiko menambah beban kepada rakyat.

“Rakyat tidak boleh terus menjadi mangsa kepada kelemahan perancangan dan kelewatan tindakan. Dalam keadaan genting ini, kerajaan perlu tampil dengan penjelasan dan tindakan proaktif. Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk pelan kontingensi sekiranya harga minyak terus meningkat, kemungkinan penarikan subsidi RON95, langkah melindungi golongan B40 dan M40 serta jaminan keselamatan bekalan tenaga negara.

“Kenyataan yang jelas dan tindakan segera dilihat penting bagi mengelakkan panik dalam kalangan rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi domestik terus terpelihara,” katanya yang juga seorang aktivis politik dalam kenyataan hari ini.

Shahir berkata, serangan dron ke atas pelabuhan, lapangan terbang dan infrastruktur tenaga di Kuwait, Oman serta Israel menunjukkan konflik semakin melebar dan sukar dikawal.

Ujarnya, situasi bertambah tegang dengan penglibatan kumpulan bersenjata seperti Houthi di Yaman serta peningkatan kehadiran tentera Amerika Syarikat di rantau tersebut sekali gus meningkatkan risiko perang berskala besar.

Beliau menambah, ancaman terhadap laluan perdagangan utama seperti Laut Merah dan Selat Bab al-Mandeb turut memberi tekanan kepada rantaian bekalan global.

“Krisis ini dijangka memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai negara pengimport bersih bahan api. Antaranya termasuk kenaikan harga RON95 dan diesel susulan lonjakan harga minyak global, peningkatan kos sara hidup akibat harga barangan dan pengangkutan yang lebih tinggi, serta tekanan fiskal kepada kerajaan sekiranya subsidi bahan api dikekalkan,” jelasnya.

Katanya lagi, risiko gangguan bekalan tenaga juga tidak boleh diketepikan sekiranya konflik berlarutan.

Shahir Adnan

Beliau menjelaskan, beberapa negara lain telah mula melaksanakan langkah drastik seperti catuan bahan api dan sekatan penggunaan kenderaan, mencerminkan tahap keseriusan krisis ini di peringkat global.

Sementara itu, beliau berkata, dalam keadaan genting ini, kerajaan digesa tampil dengan penjelasan dan tindakan proaktif. Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk pelan kontingensi sekiranya harga minyak terus meningkat, kemungkinan penarikan subsidi RON95, langkah melindungi golongan B40 dan M40, serta jaminan keselamatan bekalan tenaga negara.

“Kenyataan yang jelas dan tindakan segera dilihat penting bagi mengelakkan panik dalam kalangan rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi domestik terus terpelihara,” tambahnya. – MalaysaaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast