Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Mohd Azam Ahmad, bercakap pada sidang media sempena pengumuman keputusan SPM tahun 2025 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 Mac 2026.

PUTRAJAYA – Seramai 13,779 iaitu 3.55 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 376 calon mendapat gred A+ bagi semua mata pelajaran, meningkat berbanding tahun sebelumnya, iaitu 24 calon.

“Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2025 turut menunjukkan peningkatan 1.03 peratus, iaitu seramai 92,347 berbanding 86,040 calon pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jeputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.

Tambah beliau, pencapaian keseluruhan calon SPM 2025 juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025, iaitu peningkatan sebanyak 10,381 calon atau 2.58 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah itu, seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak dianugerahkan Sijil SPM,” katanya.

Menurut Mohd Azam, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan peningkatan akademik murid secara keseluruhan, malah turut memperlihatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar yang semakin mengecil.

Berdasarkan data yang diumumkan, GPK calon di bandar mencatatkan 4.40 mata, manakala calon di luar bandar merekodkan 4.81 mata, menjadikan jurang antara kedua-duanya semakin rapat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagi kategori calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) sahaja, peratusan kelayakan sijil turut meningkat kepada 94.51 peratus, membabitkan seramai 329,272 calon.

Dari segi pencapaian cemerlang pula, seramai 376 calon berjaya memperoleh semua A+, manakala 92,347 calon atau 23.76 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Kepujian (Gred C).

Selain itu, 141,728 calon atau 36.47 peratus pula mencatatkan pencapaian sekurang-kurangnya Lulus (Gred E).

Prestasi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) juga menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 1,516 calon atau 80.72 peratus layak memperoleh sijil pada tahun ini, meningkat berbanding 1,377 calon atau 78.73 peratus pada tahun 2024.

Antara kategori CBPK yang merekodkan peratusan kelayakan tertinggi ialah kurang upaya penglihatan (Buta) sebanyak 96.43 peratus, diikuti kurang upaya fizikal (92.52 peratus).

Beberapa inisiatif utama menyumbang peningkatan keputusan SPM 2025 termasuk keberkesanan intervensi awal terhadap murid berisiko cicir melalui sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, pelaksanaan pelbagai program sokongan akademik seperti Program Tuisyen MADANI, Program Anak Kita di bawah Yayasan Hasanah, serta kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada kejayaan calon.

Pada masa sama, pengukuhan kualiti guru melalui komuniti pembelajaran profesional (PLC) serta penempatan guru lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar turut membantu meningkatkan pencapaian murid secara lebih menyeluruh.

Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing hari ini.

Bagi memudahkan semakan, keputusan juga boleh diakses secara dalam talian menerusi portal rasmi KPM, selain semakan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), dengan kemudahan itu disediakan sehingga pukul 6 petang, 6 April ini.

Secara keseluruhannya, pencapaian SPM 2025 dilihat sebagai satu petunjuk positif terhadap keberkesanan dasar dan pendekatan pendidikan negara, selain membuktikan usaha berterusan KPM dalam memperkukuh kualiti pendidikan terus membuahkan hasil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast