KUALA LUMPUR – Misteri karya seni mewah dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin terungkai apabila sekurang-kurangnya empat lukisan bernilai puluhan juta dolar Amerika Syarikat (AS) kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
Perkembangan itu diumumkan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan proses pemulangan karya seni berprofil tinggi itu sudah memasuki fasa akhir.
Menurut beliau, kejayaan membawa pulang khazanah seni dunia itu hasil rundingan intensif bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) di Washington, D.C. pada Disember tahun lalu.
“Saya difahamkan lukisan-lukisan ini sedang dalam kurier untuk tiba di Putrajaya.
“Ia merupakan karya yang berada di Sotheby’s, manakala baki masih di bawah jagaan Christie’s,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mohamad Zamri turut mengesahkan enam lagi lukisan yang masih disimpan di Christie’s akan dibawa pulang melalui mekanisme Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) selepas perintah mahkamah AS diperoleh.
Antara karya yang bakal mencuri perhatian ialah lukisan oleh maestro dunia seperti Pablo Picasso, Henri Matisse, Alexander Calder dan Balthus yang sinonim dengan nilai jutaan dolar di pentas seni global.
Sumber memaklumkan karya tersebut sebelum ini dibeli oleh peguam berkaitan kes 1MDB, Jasmine Loo sebelum disita pihak berkuasa AS selepas disahkan mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana syarikat pelaburan itu.
Disember lalu, dilaporkan keseluruhan 12 lukisan bernilai sekitar AS$30 juta bakal dipamerkan kepada orang ramai sebaik sahaja tiba di tanah air sebagai simbol kejayaan operasi pemulihan aset negara.
Langkah mempamerkan karya berprestij itu bukan sekadar pameran seni, malah dijangka menjadi bukti nyata kejayaan usaha penguatkuasaan Malaysia menjejaki aset yang diseleweng merentas benua. – MalaysiaGazette
















