KUALA LUMPUR – Penyanyi Nourul Depp menyifatkan konsert solo For You Nourul sebagai langkah penting dalam membuka fasa baharu perjalanan seninya, bukan sekadar sebuah persembahan semata-mata.
Nourul berkata, konsert itu membawa makna lebih besar apabila beliau kini turut menggalas tanggungjawab sebagai penganjur melalui syarikatnya sendiri, ND Entertainment.
“Konsert ini bukan sekadar tentang persembahan, tetapi tentang pembelajaran, memahami proses dan membawa sesuatu yang baharu dalam perjalanan saya sebagai artis dan juga usahawan,” katanya pada sidang media di Smit & Wollensky, di sini, petang tadi.

Menurutnya, keputusan untuk meneruskan konsert tersebut dibuat walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan penganjur sebelum ini.
“Saya hampir membatalkan konsert ini, tetapi saya sedar jika saya berhenti, saya tidak akan dapat meningkatkan standard diri saya sendiri. Jadi saya pilih untuk teruskan,” katanya.
Dalam masa sama, Nourul berkata konsert itu juga menjadi simbol kebangkitan semula dirinya selepas lebih sedekad memberi fokus kepada keluarga dan perniagaan.
“Ini adalah ‘preview’ kepada fasa baharu dalam perjalanan saya, dengan mindset, tenaga dan visi yang berbeza,” katanya.

Terdahulu, konsert For You Nourul yang dijadual berlangsung pada 17 April ini diumumkan ditunda ke 30 Mei 2026 bagi memberi ruang selepas musim perayaan selain memastikan perancangan produksi dapat diperkemas.
“Pemilihan tarikh baharu ini juga bagi memberi peluang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan supaya mereka dapat hadir dalam suasana lebih selesa,” katanya.
Tambahnya, penjadualan semula itu turut memberi kelebihan dari segi penyusunan persembahan termasuk barisan artis jemputan.

Pada sidang media sama, Nourul turut mengumumkan penyanyi Mimi Fly sebagai artis jemputan yang bakal tampil berduet pada konsert berkenaan.
Konsert For You Nourul dijadual berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur. -MalaysiaGazette
















