GEORGE TOWN – Pelaksanaan langkah intervensi secara berterusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang berjaya mengurangkan jumlah calon yang tidak hadir dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, seramai 20,057 calon mendaftar untuk SPM 2025 meningkat 804 orang atau kira-kira empat peratus berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 18,132 calon hadir menduduki peperiksaan dengan kadar penyertaan keseluruhan sebanyak 98.91 peratus, manakala 17,933 calon direkodkan hadir sepenuhnya.
“Jumlah calon yang tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan menurun kepada 199 orang atau 1.09 peratus berbanding 239 orang pada tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, antara faktor ketidakhadiran termasuk kegagalan hadir semasa pendaftaran awal, berhenti awal daripada sistem persekolahan untuk bekerja serta kesukaran menghadiri sekolah selepas mula bekerja.
“Ada pelajar yang mendaftar tetapi tidak mengikuti pembelajaran dan peperiksaan sepenuhnya kerana komitmen pekerjaan.
“Trend penurunan kehadiran mula dikesan sejak Tingkatan Empat, mendorong pihak kami menggunakan indeks mengandungi 15 soalan bagi mengenal pasti punca ketidakhadiran. Kaunselor kemudian menganalisis maklum balas tersebut dan melaksanakan langkah intervensi bersesuaian.
“Sebagai contoh, terdapat pelajar yang perlu bekerja bagi menyara keluarga. Dalam kes ini, komunikasi dibuat dengan guru bagi membolehkan mereka tetap menduduki peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata, penurunan ketidakhadiran itu mencerminkan keberkesanan pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan bagi memastikan pelajar kekal terlibat dan komited untuk menduduki peperiksaan.
“Usaha berterusan akan dilakukan bagi mengurangkan lagi ketidakhadiran serta membantu pelajar menamatkan pendidikan menengah,” katanya. – MalaysiaGazette















