Home Nasional Selisih faham di kedai makan, warga emas cedera diserang dengan pisau

Selisih faham di kedai makan, warga emas cedera diserang dengan pisau

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas cedera selepas diserang dengan pisau di sebuah kedai makan di sekitar Pekan Kapar, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, dalam kejadian sekitar 6.09 petang itu, mangsa berumur 69 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka dan dada.

“Siasatan awal mendapati, pengadu berusia 53 tahun bersama mangsa dan rakannya yang sedang makan telah didatangi empat lelaki tempatan berumur lingkungan 31 hingga 35 tahun.

“Perselisihan faham dipercayai berlaku apabila pengadu mengabaikan kata-kata kumpulan itu menyebabkan salah seorang suspek mengeluarkan sebilah pisau dan menghayunkannya ke arah mangsa.

“Sebelum beredar, kumpulan itu turut mengeluarkan ugutan jenayah mahu menembak pengadu dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa kini bagaimanapun dilaporkan stabil dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Bertindak atas maklumat, polis telah berjaya menahan salah seorang suspek semalam dan semakan mendapati dia mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tegas beliau, polis kini giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast