ALOR GAJAH – Seramai 10,881 calon atau 97.07 peratus daripada keseluruhan 10,955 calon sekolah kerajaan di negeri ini layak menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, meningkat berbanding 96.14 peratus pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor berkata, peningkatan sebanyak 0.93 peratus itu hasil komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh kualiti pendidikan di negeri ini.
“Pencapaian ini menunjukkan trend peningkatan peratusan yang konsisten sejak 2022, sekali gus membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan.
“Ini turut diperkukuh apabila nilai Gred Purata Negeri (GPN) semakin kecil menunjukkan pencapaian lebih baik iaitu 4.26 mata berbanding 4.43 mata pada tahun 2024,” katanya pada sidang media pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah di sini, hari ini.
Tambah beliau, peperiksaan SPM 2025 yang berlangsung dari 3 November hingga 23 Disember lalu melibatkan seramai 13,356 calon di 100 pusat peperiksaan seluruh negeri, meningkat berbanding 13,311 calon pada tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, seramai 390 calon atau 3.48 peratus berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil, manakala lapan calon mencapai keputusan semua A+.
“Sebanyak 55 sekolah pula berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik daripada 5.00, manakala 24 sekolah mencapai 100 peratus kelayakan sijil,” katanya.
Bagi pencapaian mata pelajaran teras, jelas Mahfudzah, semua tujuh subjek utama mencatatkan kadar kelulusan melebihi 81 peratus dengan Bahasa Melayu 99.43 peratus, diikuti Sejarah (97.32 peratus) dan Sains (94.47 peratus).
Beliau berkata, kejayaan itu turut disokong oleh pelaksanaan pelbagai program termasuk Program Anak Kita oleh Kerajaan Persekutuan serta inisiatif kerajaan negeri seperti Program Insentif Bijak SPM 2025 dan Program Tuisyen Bijak SPM Anak Melaka.
“Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa serta agensi berkaitan menjadi faktor utama kepada kejayaan ini.
“Secara keseluruhannya keputusan peperiksaan SPM Melaka telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















