KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan perintah awal Mahkamah Majistret Selayang yang mengarahkan satu inkuiri aduan oleh penceroboh tanah di Rawang Perdana, Selangor, diadakan berhubung binaan struktur rumah anutan haram di kawasan tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh Yayasan Kubra.
Mahkamah mendengar penghujahan peguam Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili yayasan itu selaku pemohon dan peguam Rajesh Nagarajan bagi pihak Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman sebagai responden.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Suriyati Hasimah berkata, mahkamah telah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dan meneliti dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.
Katanya, mahkamah juga mengambil keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang berkuat kuasa di negara ini.
“Mahkamah membenarkan permohonan semakan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang.
“Pihak-pihak yang tidak berpuas hati boleh memfailkan rayuan dan mahkamah akan menyediakan alasan penghakiman tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Rajesh memberitahu, pihak pengurusan kuil Sri Uchimalai Muniswaraman akan memfailkan rayuan berhubung keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya secepat mungkin.
Menurutnya, pihak pengurusan kuil berasa kecewa namun akur dengan keputusan mahkamah terbabit.
“Kebanyakan struktur kuil telah dirobohkan tetapi masih lagi ada struktur asas.
“Kami akan fail rayuan petang ini, maka ia memberi maksud bahawa kes berkenaan masih tertakluk dalam bidang kuasa mahkamah.
“Subjek dalam kes berkenaan iaitu tanah dan kuil, tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak, sehingga kes ini diselesaikan di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Sementara itu, Muhammad Hariz berkata, keputusan Mahkamah Tinggi memberi kesan menyeluruh, maka pendengaran kes di Mahkamah Majistret Selayang pada Mei ini, dibatalkan.
Menurutnya, yayasan juga mengalu-alukan langkah pengurusan kuil sekiranya mereka mahu memfailkan sebarang tuntutan di mahkamah sivil.
“Ini kerana kami tidak akan membazirkan wang untuk mengeluarkan kos bagi melantik peguam, semata-mata mahu mendapatkan perintah pengusiran terhadap penceroboh tanah,” katanya.
Selepas ini beliau berkata, rancangan untuk meneruskan bangunan rumah asnaf yang tergendala sejak sekian lama, akan diteruskan.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil terbabit.
Majistret Chai Guan Hock kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak yang terlibat dalam pertikaian tersebut hadir ke mahkamah untuk pendengaran inkuiri di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Beliau juga meminta mereka memfailkan kenyataan bertulis berkenaan milikan sebenar terhadap tanah tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan, salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut menurut CPC.
Katanya, salinan perintah perlu dipamerkan di tanah tersebut iaitu di kawasan Rawang Perdana 2. – MalaysiaGazette
















