GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan mencecah RM3.43 juta dalam serbuan bersepadu di daerah Timur Laut di sini, pada Isnin dan Selasa lalu.
Operasi bermula pukul 4 petang hingga 9 pagi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 33 hingga 48 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan itu bermula dengan penahanan seorang lelaki di kawasan parkir kenderaan sebelum suspek membawa polis ke sebuah kediaman yang dijadikan makmal memproses dadah.
“Dalam pemeriksaan di kediaman itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja dengan jumlah keseluruhan yang besar.
“Antara rampasan termasuk lebih 16 kilogram serbuk MDMA dalam 15 bekas plastik, selain ratusan gram bahan sama dalam pelbagai bungkusan berwarna serta 294 biji pil ekstasi dan 40 biji pil Erimin 5.

“Polis turut merampas 133 gram ketamin, 38 gram ganja serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, susulan tangkapan awal itu, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang dipercayai rakan sejenayah di lokasi berasingan.
“Hasil risikan mendapati sindiket ini aktif mengedar dadah sejak Oktober tahun lalu dan jumlah keseluruhan rampasan dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Polis turut menyita pelbagai harta bernilai RM34,940.80 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 termasuk tiga kenderaan, barangan kemas dan wang tunai.
“Secara keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM3.46 juta,” katanya.
Tambah Azizee, semua tangkapan direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















