Ahmad Fuaad Kenali

KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.

Fuaad merupakan tokoh korporat berpengalaman luas dengan lebih tiga dekad kepimpinan merentasi sektor hartanah, automotif, utiliti, media, perkhidmatan kewangan serta perundingan profesional.

Beliau mempunyai kepakaran dalam strategi korporat, transformasi perniagaan, pengurusan kewangan dan pemulihan organisasi berskala besar.

Beliau turut menerajui pelbagai inisiatif strategik yang memacu pertumbuhan mampan dan prestasi organisasi, termasuk merangka hala tuju jangka panjang, melaksanakan pemulihan perniagaan serta memperluas portfolio ke bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan alam sekitar, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan prestasi kewangan syarikat.

Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan serta seluruh warga UDA mengalu-alukan pelantikan Ahmad Fuaad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif UDA.

“Dengan pengalaman serta rekod perkhidmatan beliau yang luas, kami yakin beliau berupaya memimpin UDA memenuhi matlamat utama penubuhannya,” ujarnya.

Ahmad Fuaad sebelum ini sebelum pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad serta Ketua Pegawai Kewangan Astro Malaysia Holdings Berhad.

Beliau juga merupakan bekas rakan kongsi di Ernst & Young dan pernah menyandang pelbagai peranan kepimpinan kanan di DRB-HICOM Berhad dan Petaling Garden Berhad.

Ahmad Fuaad berkata, beliau amat berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui UDA pada fasa penting ini dan komited untuk memperkukuh asas perniagaan serta mempercepat pelaksanaan inisiatif transformasi bagi memastikan syarikat terus berkembang dan mencipta nilai mampan kepada semua pemegang taruh.

“Dengan sokongan ahli lembaga pengarah dan seluruh warga kerja UDA, saya yakin kita dapat terus memacu pertumbuhan serta merealisasikan aspirasi syarikat,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast