KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menyatakan sokongan bersyarat terhadap cadangan pelaksanaan mekanisme diyat sebagai pampasan kepada waris mangsa kemalangan.
Menerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK Terengganu, Ahmad Syawalruzzaini Muhammad berkata, pihaknya mengambil serius cadangan yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berhubung keperluan meneliti pelaksanaan diyat sebagai bentuk pampasan lebih adil.
âKami mengambil maklum cadangan yang dikemukakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung keperluan untuk meneliti pelaksanaan mekanisme diyat sebagai satu bentuk pampasan yang lebih adil kepada waris mangsa kemalangan,â katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Dr. Zulkifli menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kes pemandu mabuk yang meragut nyawa, sambil menyatakan komitmen memperkasa keadilan buat mangsa dan waris melalui pendekatan tambahan termasuk konsep diyat.
Menurutnya, usaha sedang digerakkan bagi menjadikan diyat sebagai instrumen keadilan Syariah yang boleh membantu keluarga mangsa, tanpa menjejaskan pelaksanaan undang-undang sivil sedia ada iaitu satu langkah yang dilihat mampu melengkapi sistem perundangan negara.
Cadangan itu timbul susulan insiden tragis apabila seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Syawalruzzaini menegaskan isu kemalangan jalan raya bukan sekadar soal pelanggaran undang-undang, tetapi melibatkan kehilangan nyawa, trauma emosi dan beban ekonomi berpanjangan yang terpaksa ditanggung keluarga mangsa.
âDalam banyak keadaan, waris mangsa berdepan kesukaran mendapatkan pembelaan sewajarnya, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keadilan dalam sistem sedia ada,â jelas beliau.
AMK Terengganu berpandangan penelitian mekanisme diyat selari dengan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan harta (hifz al-mal), di samping mencerminkan pendekatan keadilan restoratif yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, pihaknya menekankan keperluan penilaian komprehensif melibatkan keserasian undang-undang sivil dan syariah serta implikasi perlembagaan, selain mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas pelbagai disiplin dan memperkasa kesedaran awam.
âKami percaya bahawa pendekatan yang berteraskan Maqasid Syariah, disokong oleh dalil yang jelas daripada al-Quran dan Sunnah, mampu memberikan penyelesaian yang lebih menyeluruh, adil dan berperikemanusiaan dalam menangani isu kemalangan jalan raya,â katanya lagi. â MalaysiaGazette
















