KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesan konflik Asia Barat akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran kini sudah melanda ke seluruh negara termasuk Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, kebanyakan pemimpin dunia turut mengakui tempias konflik itu akan menjadi lebih parah, dengan proses pemulihan akan mengambil masa yang jauh lebih panjang.
Tambahnya, situasi itu sudah semestinya akan menjejaskan rantaian bekalan global khususnya tenaga dengan Malaysia tidak terkecuali.
“Kita harus bersyukur kehadrat Allah SWT kerana kita memasuki fasa ini dalam keadaan ekonomi yang relatif lebih stabil dan kita dapat bertahan.
“RON95 umpamanya dengan RM1.99, itu mengejutkan kerana kalau lihat kos dan harga minyak dengan orang terpaksa beratur, ada catuan di negara-negara rantau itu tentunya merimaskan,” katanya dalam satu taklimat khas hari ini.
Menurut Perdana Menteri, di sebalik sedikit kelegaan itu tidak bermakna seluruh rakyat Malaysia boleh berasa selesa atau memandang enteng kesan konflik yang berlaku.
“Kita harus terima kenyataan bahawa keadaan tidak seperti biasa.
“Kalau keadaan itu mencemaskan, maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan kita mesti ikut rancangan kita,” katanya.
Di peringkat Persekutuan, jelas Anwar, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan memilih tokoh-tokoh yang sangat berwibawa untuk membantu mendepani cabaran semasa.
Selain itu, jelasnya, beberapa program khas sama ada di peringkat Jemaah Menteri atau Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas diadakan supaya penggunaan bahan api terkawal dan bekalan tenaga terjamin.
“Kita ucap terima kasih kerana perancangan PETRONAS dapat membantu kita kerana menyediakan minyak, gas yang mencukupi sekurang-kurang melangkau sehingga bulan Mei dan ini sangat membantu rakyat dan negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menghargai usaha penjimatan yang diambil semua pihak yang tidak angkuh, boros mempamerkan kekayaan sewenang-wenangnya dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan dengan krisis yang berlaku ketika ini.
“Sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana petani, nelayan, pekerja masih ramai yang terhimpit,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM4 bilion sebulan bagi menyerap impak lonjakan harga minyak dunia ketika ini, sekali gus membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat.
Bagaimanapun, menurut beliau, sama seperti negara-negara lain, keupayaan kerajaan itu juga adalah terbatas.
Sehubungan itu, beliau menggesa sekiranya ada cadangan lebih baik daripada kumpulan peniaga, pekerja atau nelayan misalnya, supaya dapat disalurkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi.
“Jawatankuasa berkenaan, Jemaah Menteri itu setiap hari ada perjumpaan dan kita memanggil wakil-wakil termasuk saya sendiri akan memanggil baik kontraktor kecil ataupun wakil nelayan, petani untuk mendengar keluhan mereka dan cuba menampung dan membantu sekadar yang kita mampu,” katanya.
Usaha lain yang turut dipergiatkan, kata Anwar, adalah apa yang disifatkan agak kritikal iaitu berkenaan jaminan bekalan tenaga negara.
“Pelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain, yang ini yang telah kita umumkan dan sekali lagi kerana kejayaan syarikat minyak negara kita PETRONAS mengendali dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















