KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penyedia perkhidmatan akaun sebuah syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan di ibu negara, kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan berjumlah kira-kira RM4 juta.
Perintah reman selama empat hari sehingga 4 April ini terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 sehingga 2025.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan-tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan; yuran perakaunan; pembelian genset dan diesel; pembayaran kad kredit; tuntutan keraian; perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit (petty cash); tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti; tuntutan pembayaran kerja-kerja landskap serta pembayaran gaji,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















