KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan mengadakan pertemuan bersama semua menteri besar, Premier Sarawak dan ketua menteri, esok.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu bagi meneliti beberapa langkah serta ikhtiar yang boleh diambil secara bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, perbincangan berkenaan dijangka menyentuh perkembangan terkini berkaitan situasi tenaga global, selain impaknya terhadap kos, bekalan serta kesejahteraan ekonomi domestik.
“Beberapa perkara akan dibincangkan dan langkah-langkah yang sesuai akan diteliti. Selepas mesyuarat itu, maklumat mengenai hasil atau keputusan yang dicapai akan dimaklumkan kepada umum,” katanya dalam sidang media mingguan di Angkasapuri, hari ini.
Jumaat lalu, Anwar berkata, kerajaan akan memanggil Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin utama parti politik minggu depan untuk mendengar taklimat kedudukan semasa ekonomi negara kesan konflik di Asia Barat.
Katanya, hasil taklimat disampaikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu nanti akan menentukan keperluan sama ada wajar sidang Parlimen dipanggil bagi meneliti serta membincangkan langkah seterusnya. – MalaysiaGazette
















