Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh (tengah), dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslee Esman (dua kiri), menunjukkan graf laporan 2025 ketika sesi taklimat media mengenai semakan kawal selia tahunan di Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 APRIL 2026

PUTRAJAYA – Malaysia tidak terkesan daripada impak krisis yang berlaku di Asia Barat ketika ini kerana bekalan tenaga elektrik dan gas berpaip di negara ini dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, rakyat perlu bersedia dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan eletrik namun kadarnya tidak terlalu tinggi.

Menurut beliau, penjanaan elektrik dari segi penggunaan gas asli di negara ini kebanyakan datang daripada sumber domestik dan oleh itu kenaikannya tidak terlalu ketara.

“Namun, ada juga kurang daripada 20 peratus yang masih lagi akan terdedah kepada risiko kenaikan kos sebab kita ada import juga gas asli tersebut dari negara lain, bukan Asia Timur tetapi kebanyakan dari Australia.

“Kos tersebut atau harga bahan api tersebut adalah berkait  juga dengan harga bahan api di pasaran. Apabila harga bahan api di pasaran seperti minyak mentah brent meningkat, kita juga akan merasa kesan tersebut.

“Pendedahan tersebut adalah dalam lebih kurang 20 peratus kepada keseluruhan gas asli yang digunakan untuk menjana bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membentangkan Kajian Semula Kawal Selia Tahunan ST 2026 di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh (tengah), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslee Esman (dua kiri), Pengarah Strategi dan Hal Ehwal Korporat, Nurhafiza Mohamed Hassan (kanan), dan Pengarah Pematuhan dan Penguatkuasaan, Ismail Zaili Yusop (kiri) bergambar selepas selesai sesi taklimat media mengenai semakan kawal selia tahunan di Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 APRIL 2026

Mengulas lanjut, Siti Safinah memberitahu, Malaysia ketika ini juga mengimport gas dan mengimport 100 peratus arang batu dari negara lain.

Oleh itu katanya, kos yang akan berbangkit berpunca daripada tiga faktor iaitu bahan api di pasaran, pembekalan bahan api melalui perkapalan dan juga kos insurans.

“Namun masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan kita mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos.

“Jadi, antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah untuk berjimat cemat, kedua adalah mula melabur atau membeli barang-barangan elektrik yang lebih cekap tenaga.

“Dan ketiga tengok balik penggunaan tenaga kita di rumah terutamanya untuk pastikan kita tidak terkesan dengan kenaikan kos apabila ia berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

Bangunan Pusat Pentadbiran Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 APRIL 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast