KLANG – Isteri kepada mangsa langgar pemandu mabuk, Nor Nadia Abdul Majid masih menyembunyikan perkara sebenar daripada anak-anaknya ketika suaminya ditimpa musibah hingga meragut nyawa.
Walaupun terkilan atas pemergian suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33, ketika keluar membeli buku teks, namun Nadia tidak mahu perkara itu diketahui ketiga-tiga anaknya.
“Saya tak nak dia rasa bersalah, sebab arwah pergi mencari buku teks.
“Saya tak nak dia rasa bersalah atau dibuli di sekolah nanti itu yang saya takut,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Klang, di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang pembantu makmal swasta yang memandu kereta melanggar penghantar makanan pada Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi, pada 29 Mac lalu.
Nadia juga berkongsi kesedihan anak-anaknya sehingga ada yang memakai pakaian arwah suami ketika tidur.
“Anak-anak tidur pakai baju arwah semalaman.
“Saudara-mara ada bawa anak-anak pergi ke kubur, yang si kecil tak pernah pergi ke kubur,” katanya.
Selain itu, kata Nadia, arwah suaminya pernah berpesan supaya dia dan anak-anaknya berpindah ke kampung halamannya di Larut, Perak sekiranya dia tiada lagi.
“Ya, betul memang amanat arwah ada pesan macam itu kalau apa-apa jadi, balik duduk kampung jangan duduk sini, sini tak ada siapa,” katanya.
Katanya, keberadaanya di Shah Alam untuk menguruskan pemindahan sekolah anak-anaknya ke kampung halaman.
“Saya nak balik sini, saya nak uruskan pertukaran sekolah dekat sana.
“Saya ramai keluarga, kalau saya sibuk, keluarga boleh tolong, kalau dekat sini kalau saya sibuk, anak-anak tak ada orang nak tolong tengokkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















