KUALA LUMPUR — Dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam kini di peringkat akhir sebelum diumumkan secara rasmi, sekali gus memberi bayangan bahawa aturan kerja fleksibel bakal menjadi norma baharu dalam perkhidmatan kerajaan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah menerima taklimat terkini berhubung perkembangan dasar itu yang sedang diperhalusi sebelum dimuktamadkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Ketua Setiausaha Negara memaklumkan bahawa beberapa aspek akhir sedang diperhalusi sebelum dasar ini boleh diumumkan, termasuk pelaksanaannya dalam sektor awam,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet di Angkasapuri di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan fasa pertama tidak hanya tertumpu di Putrajaya, sebaliknya akan melibatkan beberapa kawasan terpilih yang mana satu petunjuk jelas bahawa kerajaan bersedia memperluaskan model kerja fleksibel secara lebih menyeluruh.
Jelas Fahmi lagi, perincian akan diumumkan Shamsul Azri tidak lama lagi.
Tambahnya, langkah itu dilihat sebagai usaha menginstitusikan amalan kerja fleksibel yang sebelum ini diperkenalkan ketika pandemik Covid-19, namun kini diberi nafas baharu dalam kerangka pentadbiran moden.
Pada masa sama, Fahmi berkata, sektor swasta turut digalakkan meneliti dan melaksanakan aturan kerja fleksibel yang bersesuaian, memandangkan sebahagian syarikat masih mengekalkan amalan WFH sejak pandemik.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (WFH) secara berperingkat.
Menurutnya, penjawat awam akan dibenarkan bekerja dari rumah secara terpilih mengikut keperluan. – MalaysiaGazette
















