ISTANBUL – Austria menolak permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan ruang udaranya bagi operasi ketenteraan terhadap Iran, dengan alasan undang-undang berkecuali negara itu, lapor Anadolu yang memetik media tempatan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan pada Khamis mengesahkan terdapat “beberapa” permintaan daripada Washington, namun tidak menyatakan jumlahnya, menurut penyiar awam Austria, ORF.
Beliau menambah, setiap permohonan akan dinilai secara individu dengan penyelarasan bersama Kementerian Luar Austria.
Austria, yang mengamalkan dasar berkecuali ketenteraan sejak sekian lama, tidak mengenakan larangan menyeluruh terhadap penerbangan AS, tetapi meneliti setiap permintaan secara kes demi kes, menurut kementerian itu.
Awal minggu ini, Sepanyol dilaporkan menutup ruang udaranya kepada penerbangan tentera berkaitan konflik berkenaan, manakala Itali menolak permintaan pesawat AS untuk mendarat di sebuah pangkalan di Sicily.
AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang telah mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain mengganggu pasaran global serta penerbangan. – Agensi
















