PUTRAJAYA – Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijangka didakwa berkaitan dengan kes salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan sisa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu disahkan Jabatan Peguam Negara selepas kertas siasatan sudah disiapkan.
“Persetujuan daripada pihak pendakwa raya, atau peguam negara, telahpun kita perolehi dan pertuduhan dijangka keesokan hari terhadap kedua-dua Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar.
“Saya harap tiada pembatalan tentang perkara ini dan mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen pada esok hari jika tiada apa-apa kesulitan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Pada 29 Januari lalu, SPRM menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS kira-kira jam 6.30 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu e-waste.
Siasatan itu dijalankan bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Penahan dua pegawai tertinggi JAS itu dilakukan mengikut Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Azam berkata, kekosongan jawatan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Alam Sekitar (JAS) bakal diisi selepas kedua-dua penyandangnya didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.
Beliau menyerahkan urusan pelantikan itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Yang itu saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara tentang pelantikan Ketua Pengarah baharu. – MalaysiaGazette
















