PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, mafia korporat bukan beroperasi secara terbuka namun bergerak secara tersusun.
Beliau berkata, ia menggunakan struktur korporat yang sah untuk mengaburi penguat kuasa, disokong oleh rangkaian profesional seperti akauntan, peguam, perunding dan orang dalam agensi tertentu.
“Kita perlu melihat realiti hari ini dengan jelas dan tanpa berselindung apa yang kita hadapi bukan lagi jenayah biasa tetapi satu ekosistem jenayah terancang yang digerakkan korporat mafia.
“Mereka ini bukan sahaja melindungi aktiviti haram, memanipulasi struktur korporat, membersihkan wang haram bahkan ia memanipulasi sistem untuk memastikan jenayah terus berlaku tanpa dikesan,” katanya berucap merasmikan Sssi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Sebelum ini, ahli perniagaan kontroversi, Victor Chin yang terpalit dengan mafia korporat mendakwa seorang ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai sebanyak RM9.5 juta bagi menyelesaikan skandal tersebut.
Sementara itu, Azam mendedahkan, isu penyeludupan e-sisa dan sisa plastik haram berleluasa melibatkan pemalsuan dokumen, salah pengisytiharan kargo, serta penyalahgunaan lesen import.
“Terdapat elemen rasuah di peringkat penguatkuasaan yang membolehkan kontena-kontena ini melepasi pintu masuk negara tanpa pemeriksaan sewajarnya.
“Isu ini bukan sekadar isu alam sekitar semata, ianya adalah jenayah ekonomi dan kedaulatan negara.
“Negara bukan sahaja menanggung risiko pencemaran, tetapi juga kehilangan hasil dan reputasi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Selain itu, katanya, penyeludupan diesel (Ops Karen) dan penyeludupan tayar (Ops Grip) pula menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana sindiket ini mampu beroperasi dalam tempoh lama dan ini menunjukkan wujudnya kelemahan sistem, manipulasi proses, dan kemungkinan penglibatan enabler,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















