Ajulahin Japin

KUALA LUMPUR – Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) bimbang dengan keputusan pengurangan kuota subsidi bahan api daripada 300 liter kepada 200 liter kerana memberi kesan langsung kepada kebajikan pekerja kesihatan awam.

Presiden Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung MAPSU, Ajulahin Japin berkata, petugas kesihatan merupakan antara sektor kritikal yang tidak pernah diberi pilihan untuk bekerja dari rumah.

“Dalam apa jua keadaan — termasuk ketika pandemik dan krisis kesihatan — mereka terus hadir secara fizikal untuk memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.

“Majoriti pekerja kesihatan perlu berulang-alik dalam jarak yang jauh setiap hari, khususnya di Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

“Penggunaan bahan api bulanan mereka lazimnya mencecah atau melebihi 300 liter. Ini bukan soal pilihan gaya hidup, tetapi tuntutan tugas yang tidak boleh dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAPSU mewakili lebih 120,000 ahli melalui 22 kesatuan gabungan KKM.

Sehubungan itu, tegas beliau, pengurangan kuota kepada 200 liter adalah satu langkah yang perlu mengambil kira realiti operasi sektor kesihatan, dan secara langsung tidak menambah tekanan kos sara hidup kepada golongan yang telah pun berdepan beban kerja yang tinggi.

MAPSU katanya, berpandangan kerajaan perlu melihat semula kuota subsidi bahan api supaya petugas kesihatan tidak terus dibebankan dan dasar ini lebih bersifat sensitive kepada keperluan sebenar mereka.

Justeru, MAPSU menggesa kerajaan untuk segera mengembalikan kuota subsidi kepada 300 liter bagi pekerja kesihatan  Melaksanakan pendekatan bersasar yang lebih adil, khusus kepada sektor yang tidak boleh melaksanakan bekerja dari rumah.

Malah, MAPSU turut menuntut kerajaan ,engiktiraf sumbangan dan keperluan mobiliti tinggi petugas kesihatan dalam penggubalan dasar berkaitan subsidi.

“MAPSU ingin menegaskan bahawa kebajikan pekerja kesihatan bukan sekadar isu dalaman sektor, tetapi berkait rapat dengan keupayaan sistem kesihatan negara untuk terus berfungsi dengan berkesan.

“Keputusan dasar yang tidak mengambil kira realiti lapangan berisiko menjejaskan moral dan kesejahteraan tenaga kerja kesihatan — sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast